Thursday, July 24, 2008

Catatan.......

Assalamualaikum……………

Segala apa yang dianugerah dan diberi oleh Allah S.W.T. itu nikmat segala hendaknya dimana kita makhluknya tidak berkemampuan mengatakan bukan ini pilihan kita. Bagi saya segalanya saya redhai jika sekalipun wajah saya mirip lelaki itu kehendaknya, cara saya dipandang meluat itu pun matanya dijadikan sedemikian maka redha dan terimalah saya mata nya. Tiada apa yang ada pada saya dapat saya banggakan jauh sekali wang ringgit dan tidak sama sekali kejelitaan, sesungguhnya saya syukur kehadrat Allah s.w.t dengan anugerah nya seketul hati dengan didikan kedua ibubapa saya dijalan yang sentiasa diredhai, dimana kedua mereka sering memperingatkan angkuh bukan kelibat ku, sombong bukan sifat ku dan bongkak bukan sekali perlakuan ku.

Rata-rata perjalanan yang sedang saya lalui ini memang benar-benar memperlihatkan kepada saya wajah sebenar Adam dan Hawa. Dijadikan sesempurna mungkin dengan ketibaan yang bersih jernih kemudiannya tercalar sana dan sini akibat dorongan yang tidak terarah. Malang sungguh kejadian sedemikian.

Saban hari kini saya melihat cadangan, menilai urutan cadangan itu, memilih dan mengambil mana-mana yang dilihat bersangkutan serta cuba mempergunakan segala nasihat dan aturan yang perlu saya ikuti dalam usaha saya untuk mendapatkan keyakinan daripada ketua-ketua cawangan lain bagi pencalonan. Satu proses yang menarik bagaimana perlunya saya berhadapan dengan berbagai pola warna yang mewarnakan lagi laluan dimana terdapat berbagai persimpangan apabila diteruskan samada terdapat persimpangan lagi atau berakhir disitu. Perjalanannya tiada berpermaidani bukan maksud saya berkehendakkan hamparan sedemikian, tetapi dalam jangka singkat ini, pertumbuhan daya pemikiran PUTERI amat saya kagum. Setiap pertemuan berbagai persoalan dengan rentak bersahaja mahupun bertubi-tubian diajukan kepada saya. Dua ulangan nada yang tersohor sering bergema “Lu Sapa” dan “Mengapa nak pecahbelahkan” Gendang telinga saya tidak rosak tapi telah membentuk satu irama dengan rentak dimana otak saya dengan caj-caj ion bertentangannya menghasilkan;- “ehwah….ehwah…ehwahhhhh.”

Sungguh mengkagumkan, teringat pula saya ketika menghadiri beberapa siri pertemuan anjuran UMNO BAHAGIAN KAPAR. Berduyun-duyun, berarak puteri
dari setiap pelusuk hujung KAPAR timbul dan hadir. Bangga saya melihat semangat PUTERI. Bergagah perkasanya Puteri-PUTERI ini, BErsendo-sendo berdiri PUTERI-PUTERI ini. Mengambil tempat masing-masing, hinggar banggar riuh rendahlah seluruh dewan. Berbagai cerita, senda gurau, lawak jenaka bukannya episode-episode yang dipentaskan tetapi terbit daripada kumpulan-kumpulan kehadiran puteri-puteri ini sendiri. Sajian kemudian dihidangkan. Hiruk riuh lagi dengan berlaganya senduk, sudu, garpu dan pinggang ketika PUTERI-PUTERI sedang menikmati santapan termasuklah diriku. Seronok sungguh. Betapa kiranya hari-hari atau sering sering dijamu sedemikian.

Selesai sudah gendangan perut, duduk sebentar memberi laluan agar proses kenikmatan sajian benar-benar dihadamkan agar ketulan ketulan darah sihat dapat menjana fikiran yang bernas. Setengah jam berlalu sesudah santapan;- tiada Ucapan, tiada Kata-Kata Aluan, tiada Perdebatan, tiada Perbincangan, tiada sesi Soal Jawab, tiada yang Bertanya, tiada Forum, tiada Bengkel, tiada Pemilihan, tiada Calon dan tiada Undian. Waktu menghampiri 12 tengah malam, maka seluruh PUTERI-PUTERI mula bergegas mencari teman yang tadi bersama seiring menghadiri pertemuan ini. Maka bersurailah PUTERI-PUTERI termasuk saya dengan dendangan baru terterbit hasil pertemuan ini:- “Datang…..Makan…….Balik”……..”Datang……Makan….Balik” menyanyi kecil kedengaran diantara PUTERI-PUTERI ini.

Tetapi agak menghairankan, malah diluar dugaan apabila saya memulakan pengembaraan dalam mencari pencalonan. Amnya Salam Selamat Datang dihulur dan Insyallah dituturkan. Meskipun demikian soalan tetap bertubi-tubi, kesan dan akibat dibayangkan, persis halalintar kata-kata terpacul keluar. Acara ini berlaku dikawasan-kawasan yang lebih “keras”. Saya terpaksa mengambil maklum bahawa ada tempat-tempat yang “keras” maka saya tidak mempunyai “pengerasnya” terpaksa saya gunakan segala adab sopan dan susila sebagai ganti ‘pengerasnya”. Betapapun pengeras ini hanya guna untuk memujuk diri sendiri tidak lebih daripada itu.

Kejadian-kejadian sebegini cuba saya pendam, maklumlah Ayah dan Ibu selalu berpesan: “Buruk manusia jangan disingkap tetapi Kebaikkan manusia haruslah dihebakan” Nasihat ini saya berpegang teguh dan insyallah tidak akan tergugat. Dalam beberapa hal ada juga saya rujuk dengan teman yang saya kira karib dan dapat melihat itupun menurut kelapangannya dan waktu yang terluang. “Zorro”…nama timangan teman saya ini. Saya bukan mengadu sekadar meluahkan fikiran. “Berkempen cara blog tak kena”, Kunjung mengunjug tak kena” Talipon Menalipon tak Kena, SmS dibalas pelik-pelik apa agaknya yang terbaik yang boleh dilakukan”. “Azrah” kamu tak berduit nak bertanding apa, aku sendiri nak bantu kamu pun apa yang boleh kamu beri untuk aku keliling seluruh Bahagian Kapar ni. “Jika duit menjadi segala punca maka sampai bila-bila pun PUTERI tak kemana”.

Zorro diam sejenak…kemudian berkata:- “Kamu pernah dengar kisah Luqman Hakim. “Pernah kata saya”, kamu ambil petua kisah ni kemudian biarlah keadaan menentukan apa sahaja hasilnya. Mungkin ada benarnya, Kisah Luqman Hakim berkisar dalam fikiran ku:- Luqman bersama seorang anak, seekor Kaldai dan beberapa ikatan barangan. “Luqman bersama anak dengan ikatan barangan menunggang kaldai tersebut dikatakan menyeksakan haiwan tersebut, Luqman dan anaknya menjunjung barangan sendiri sambil berjalan membawa kaldai nya dikatakan tidak mengunakan kemudahan yang tersedia, Luqman junjung Kaldai dan anaknya menjunjung ikatan barang tersebut dikatakan tak guna akal, kesimpulannya segala perlakuan jika hendak diambil kira semua pendapat maka akhirnya tidak akan ada suatu cara yang benar-benar boleh dipersetujui oleh semua.

Begitulah pengembaraan ringkas saya, saya mohon beribuan ampun dan maaf jika dalam saya membuat catatan ini, terdapat kata-kata yang tidak sesuai digunakan, itu merupakan kebenaran yang terjadi tanpa merujuk kepada sesiapa. Dan catatan ini satu Nota bukan laporan untuk dibawa ke meja persidangan kabinet mana-mana agensi kerajaan yang terdapat di Bahagian Kapar.

Sekian. Terima kasih

Wassalamualaikum.

1 comment:

Unknown said...

Assalamualaikum,

Terima kasih dengan cerita2 anda. anda punya gaya bahasa yang amat saya kagumi. Pedulikan dengan apa sahaja ingin mereka katakan, mulut manusia tidak kenal apa itu jauhari. komen orang memang mudah tapi diri sendiri hanya tuhan yang ketahui. hanya sabar sahaja yang boleh saya katakan. sekian terima kasih